Akibat pemikirannya itu menyebabkan dia digelar pembangkang dalam koloninya. Dia bukan memandang kosong kepada deretan semut-semut yang sedang bekerja. Dia memandang dengan wawasan. Pelbagai persoalan berpusing-pusing di dalam kepalanya. Persoalan-persoalan tersebut kemudiannya bertukar menjadi ketidakpuasan dan seterusnya melampiaskan pandangan peribadinya. Oleh kerana pandangan itulah maka dia disifatkan sebagai Hang Jebat. Legenda manusia yang hebat tentang pendurhakaan seorang rakyat. Namun bagi semut muda Hang Jebatlah manusia yang wajar dijadikan contoh dalam mengubah sejarah ketaatan yang membabi buta.
“Kau hentikanlah perjuanganmu itu semut muda kerana aku tahu itu sia-sia. Bagimu perjuanganmu itu berasas, tetapi tidak bagi rakyat yang lain.” Tiba-tiba satu suara menerjah gegendang telinganya sekali gus mengusir segala apa yang sedang berselirat dalam kotak pemikirannya.
Semut muda menoleh. Rupa-rupanya sahabatnya Semut 1 menyapa. Semut muda tersenyum hambar atas sikap pesimistik sahabatnya itu. Setiap hari itulah yang kedengaran, suara-suara yang memperlekehkan perjuangannya. Semut muda membuang jauh pandangannya ke arah deretan semut-semut yang sedang bekerja. Masing-masing membawa pelbagai benda yang berguna kepada pemimpin koloninya. Taat mereka, taat yang membabi buta sama seperti Hang Tuah legenda manusia. Berbakti kepada pemimpin yang sudah terang-terangan mempunyai kepentingan peribadi.
“Pemimpin yang menurut emosi, pemimpin yang wajar diketepi.” Bentak hati semut muda. Perasaan yang pada awalnya sedikit bergelora mula melahirkan ombak-ombak ketidakpuasan yang semakin hebat. Ombak-ombak ketidakpuasan itu akhirnya mencetuskan luahan lisan semut muda.
Semut muda sedar bahawa bukan mudah untuk mempengaruhi Semut 1 dan rakyat yang lain. Perjuangannya dipandang sepi oleh semua pihak sama seperti perjuangan Hang Jebat. Hang Jebat berjuang bersendirian. Pada masa itu dia digelar pengkhianat, tetapi kini dunia sudah mengakui kehebatan Hang Jebat dan mempersoalkan ketaatan Hang Tuah. Pada alaf ini, di kerajaan busut ini dialah Hang Jebat. Dia pasti suatu hari nanti kerajaan busut dan koloni-koloni semut yang lain pasti bersatu pendapat dengannya walaupun pada masa itu dia sudah menjadi humus di mana-mana tanah ciptaan Allah ini
Teks Asal : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SanggarKreatif_KhalifahKerajaanBusut/Article
No comments:
Post a Comment