[SN182] Bermula dengan sketsa Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dari UMNO yang melompat ke PR, kemudian disusuli ‘misteri’ kehilangan dua orang Exco PKR yang setelah itu muncul semula dan mengisytiharkan diri keluar parti bersama seorang lagi Adun DAP. Kemudian, ‘kekartunan’ politik di Perak ini bertambah menarik apabila Nasharudin melakukan ‘u-turn’ ke UMNO semula. Setelah itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang merupakan Menteri Besar yang tidak dipertikaikan waktu itu memohon perkenan Sultan untuk membubarkan DUN, namun tidak diterima, malah Sultan melantik pula Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai MB yang baru. Setelah pelantikan Zambry, bermulalah pula babak baru drama rampasan kuasa oleh UMNO/BN yang kemudiannya terus mengheret Sultan Perak untuk ‘dipergunakan’ mereka habis-habisan. Kemudian, berlakulah pula lakonan tuduh-menuduh derhaka-menderhaka kepada Raja yang menyebabkan Perak gegak gempita. Untuk terus hidup, UMNO terpaksa bertaut sepenuhnya kepada institusi Raja memandangkan PR terus kukuh berhujah dan berpegang teguh dengan Undang-undang Tubuh Negeri. Masing-masing kini bermain hujah, satu berpegang kepada Raja dan satu lagi kepada undang-undang. Justeru, kedudukan persoalan yang muncul adalah di antara “Raja dan undang-undang”, siapakah yang lebih berkuasa? Untuk menyelesaikan drama demokrasi ini, maka Nizar yang dikatakan sebagai bekas Menteri Besar, mengheret Dr. Zambry yang dikatakan Menteri Besar ‘haram’, ke Mahkamah bagi memutuskan siapakah menteri besar yang sebenar dan sah mengikut hukum demokrasi.
Ternyata, setelah beberapa purnama diadili oleh mahkamah sekular di bawah undang-undang sekular, keputusan mahkamah memihak kepada Nizar. Lalu bergembiralah semua penyokongnya dan terus menganggap mahkamah sekular yang memutuskan keputusan itu telah kembali kewibawaan dan kesuciannya. Malah ada yang terus bersujud syukur dengan keputusan mahkamah sekular tersebut, seolah-olah keputusan yang dibuat hakim sekular tersebut berdasarkan Al-Quran dan Sunnah! Namun, langit yang baru sahaja cerah terus diselubungi awan mendung apabila tidak sampai 24 jam, mahkamah sekular yang lebih tinggi membenarkan rayuan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah sebelumnya. Maka, tersenyum lebarlah anak jati Pangkor yang dikatakan ‘Menteri Besar Pasola’ itu, kerana dapat kembali berada di kerusi empuk bagi meneruskan pemerintahan sekular yang dimurkai Allah. Di sebelah pihak yang lagi satu, mahkamah yang baru sekejap tadi dipuji terus dikeji dan dikatakan umpama sarkas. Begitulah serba ringkas apa yang berlaku di Perak setakat ini, di mana dua pihak yang mendakwa masing-masing adalah ‘kerajaan yang sah’ telah menggunakan apa jua cara untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Akhirnya, sesuai dengan ajaran demokrasi di bawah konsep Trias Politika, maka mahkamah sivil (mahkamah kufur, bukan mahkamah syariah) menjadi pihak/badan ketiga yang diharap menjadi pemutus sengketa mereka. Bagi pencinta demokrasi, keputusan mahkamah sangat-sangatlah dinantikan di dalam kes ini.
Namun, bagi pencinta Islam, kita dapat menyaksikan bahawa inilah natijah dari pelaksanaan sistem dan undang-undang warisan penjajah di mana umat Islam bercakaran sesama sendiri bagi merebut kuasa dan jawatan. Sistem pemerintahan Khilafah yang merupakan satu-satunya sistem Islam yang datangnya dari Allah dan Rasul tidak mereka usahakan, namun sistem demokrasi yang ditinggalkan penjajah inilah yang dijadikan bahan percakaran sesama sendiri untuk dipertahankan. Jika British menyaksikan peristiwa ini, pasti mereka akan ketawa dan tersenyum bangga kerana ternyata hingga kini, Perak (dan Malaysia) bukan sahaja masih mengamalkan undang-undang kufur yang mereka tinggalkan, malah bermati-matian mempertahankannya!!! selanjutnya :http://islamsyumul.blogspot.com/2009/05/muntahan-demokrasi-di-perak.html
No comments:
Post a Comment