Pages

Friday, September 24, 2010

Fiqh al-Awlawiyat. (2)

Latarbelakang Fiqh al-Awlawiyat.

Istilah ini terdiri dari dua perkataan. Pertama ialah “Fiqh” yang bermaksud kefahaman. Lazimnya ia dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud kefahaman terhadap sesuatu hukum. Justeru apabila dikatakan
“  Fiqh Solat”, bererti subjek yang memberi kefahaman kepada hukum, hikmah dan objektif solat dalam suasana biasa dan tidak biasa. Ada pun kebiasaan silibus tempatan yang menekankan hafalan hukum-hukum berkaitan solat, ia tidak dapat disebut sebagai “Fiqh Solat” tetapi lebih kepada “Hafazan Solat”. Al-Awlawiyat berasal dari perkataan “ Awla” yang bermaksud utama, unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih unggul dan lebih penting. Secara ejaan, Fiqh al-Awlawiyat tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al- Sunnah, akan tetapi secara maksud dan konsep, ia wujud secara jelas di dalam kedua-dua sumber mulia tersebut.
Dalam perbicaraan Fiqh al-Awlawiyat, para pembaca juga perlu beramah mesra dengan dua istilah yang lazim digunakan, iaitu maslahat dan mafsadat. Secara mudah, maslahat ialah kebaikan atau faedah manakala mafsadat ialah
keburukan atau kerosakan. Setiap sesuatu yang dilarang oleh syari‘at sebagai haram atau makruh pasti memiliki sesuatu mafsadat yang ingin dijauhkan. Manakala setiap sesuatu yang disuruh oleh syari‘at sebagai harus, sunatatau wajib pasti memiliki sesuatu maslahat yang ingin dicapai.
Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Larangan Yang Saling Bertembung.
Katakanlah kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa, larangan pertama hukumnya makruh manakala larangan kedua hukumnya haram. Maka tindakan yang benar ialah menjauhi kedua-duanya. Seterusnya, katakanlah kita
hanya mampu menjauhi salah satu darinya, maka tindakan yang lebih utama ialah menjauhkan larangan yang hukumnya haram. Tentu saja ini mudah untuk kita pertimbang dan utamakan.
Namun bagaimana jika kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa dimana kedua-dua hukumnya adalah haram dan kita hanya mampu menjauhi salah satu darinya? Di sinilah terdapatnya kepentingan Fiqh al-Awlawiyat.
Kes seumpama ini pernah disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid al-Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). [al-Baqarah 2:217]

Dalam ayat di atas, umat Islam berhadapan dengan dua larangan yang saling bertembung dalam satu masa:
* Larangan # 1: Berperang dalam bulan-bulan yang dihormati, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Peperangan memiliki mafsadat di sebaliknya seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, maka larangan berperang pada bulan-bulan yang dihormati adalah bagi mengurangi mafsadat tersebut.
* Larangan # 2: Membiarkan musuh-musuh menghalangi umat Islam dari jalan Allah, khasnya menghalang umat Islam dari memasuki Kota Mekah untuk beribadah di Masjid al-Haram sekali pun dalam bulan-bulan yang dihormati. Jika dibiarkan, tindakan musuh ini akan memberi mafsadat kepada Islam dan umatnya. Antara dua larangan di atas, mafsadat yang kedua lebih berat dari yang pertama. Ini dapat diketahui dengan membandingkan antara mafsadat pertama yang Allah sifatkan sebagai “…berdosa besar” dengan mafsadat kedua yang Allah sifatkan sebagai “…lebih besar dosanya di sisi Allah.” Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menerangkan bahawa fitnah dari membiarkan tindakan musuh menghalangi umat Islam adalah lebih besar kesannya berbanding bunuh-membunuh yang berlaku dalam peperangan, sekali pun dalam bulanbulan yang dihormati.
bersambung.....(3)

No comments:

Post a Comment