Pages

Saturday, October 2, 2010

Amanah, cekap bentuk tamadun bangsa

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

2010/10/02 bharian

Pemimpin salah guna kuasa, menyeleweng undang permasalahan dalam masyarakat

SUATU ketika dulu slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’ begitu mendapat perhatian masyarakat. Bahkan ia menjadi slogan keramat yang mampu menarik kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada kepemimpinan.
Bahkan nilai terkandung dalam slogan itu tetap sesuai untuk masyarakat masa kini, jika slogan keramat itu dapat dihayati sepenuhnya oleh kepemimpinan masyarakat, sudah pasti rakyat akan terus memberi sokongan padu tanpa pengecualian.
Setiap ahli masyarakat dahagakan amalan bersih, cekap dan amanah setiap pemimpin. Mereka menolak sebarang nilai negatif seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Apatah lagi ketika krisis peradaban menimpa umat manusia sejagat. Kegagalan pemimpin mengamalkan sikap bersih, cekap amanah itu menyebabkan masyarakat di seluruh dunia menghadapi pelbagai masalah.

Di Amerika Syarikat, 10 peratus rakyatnya menganggur. Begitu ketaranya permasalahan sama di Eropah. Satu demi satu negara di Eropah sudah menghadapi masalah muflis. Di samping itu, penyelesaian kepada usaha menangani masalah berkenaan masih hebat diperdebatkan, sama ada pendekatan rangsangan fiskal atau penjimatan fiskal. Ini menggambarkan mereka sudah hilang pedoman.

Dalam senario demikian, negara lain akan turut ditimpa bahang permasalahan sama. Justeru, untuk mampu berdepan dengan cabaran itu amalan bersih dalam tindak tanduk sudah pasti menjadi tuntutan penting.

Di samping sifat bersih, cekap juga penting kerana kepemimpinan yang tidak cekap pasti gagal membawa hasil positif kepada kebajikan masyarakat sedangkan masyarakat sudah jemu dengan jeritan slogan demi slogan.
Masyarakat menuntut hasil yang jelas daripada pihak berwajib untuk membawa kemajuan. Slogan keagamaan yang luhur jika tinggal hanya slogan, masyarakat akan turut menolak kepemimpinan itu.

Usaha untuk meyakinkan masyarakat kewibawaan seseorang pemimpin itu, gagasan yang jelas, praktikal serta terperinci perlu dikemukakan dan dilaksana secara berkesan.

Kepada yang masih menerajui kekuasaan, masyarakat menuntut hasil kemajuan yang mampu dilaksanakan. Kepada pihak yang belum mempunyai peluang, tidak memadai dengan bijak mengkritik tetapi gagal menyarankan alternatif rancangan secara terperinci.

Pemimpin yang memiliki kecekapan mengendalikan urusan masyarakat adalah unsur penting diberi perhatian oleh masyarakat. Mengakui memiliki sifat amanah saja tidak mencukupi, ini termasuk kebolehan melakonkan watak memiliki sifat itu.

Tanpa sifat amanah dalam kalangan pemimpin, natijahnya masyarakat berhadapan dengan pelbagai krisis kemasyarakatan dan ini secara tak langsung akan menghancurkan tamadun sesebuah bangsa.

Untuk mencapai kemajuan di masa depan, slogan keramat ‘Bersih, Cekap, Amanah’ hendaklah menjadi budaya dalam kalangan pemimpin masyarakat bernegara.

Masyarakat semakin bijak dan untuk memenangi sokongan masyarakat keseluruhannya, kepemimpinan perlu bersaing membuktikan bahawa mereka adalah jaguh sebenar yang mampu menghayati slogan ‘Bersih. Cekap, Amanah’.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Amanah_cekapbentuktamadunbangsa/Article

No comments:

Post a Comment